Untitled

Untitled

Tuesday, September 9, 2014

Nak Jadi Diri Sendiri Boleh?

Hidup kekadang-nya bosan, gembira datang dengan pengorbanan. Aku bosan dengan manusia manusia di sini, saling merayakan siapa paling berjaya hidup dalam sistem dangkal ini. Belajar sudah jadi seperti tugas dalam hidup, tanpa pelajaran kau hanyalah manusia hina. Tapi, pendidikan apa yang ditekankan dalam kepala hingga masyarakat terlalu memandang rendah pada mereka yang tak dapat belajar di universiti mahupun kolej? Ya, si fasis telah berjaya buat rakyat mengeneralisasi bahawa hanya dengan masuk univerisiti/kolej kau akan berjaya dan orang yang tak dapat univerisiti atau kolej akan terus jadi sampah dan bodoh.


Pendidikan negara ini semakin jauh dari falsafahnya sendiri iaitu untuk mewujudkan individu yang dapat menyumbang kembali untuk masyarakat. Tapi sebaliknya yang berlaku, pendidikan hanya buat pelajar bergantung harap pada sekeping ijazah untuk teruskan kelangsungan hidup selepas belajar, iaitu dengan bekerja. Universiti bagaikan satu kilang yang hasilkan robot untuk berkhidmat pada industri. ‘Melahirkan warga yang bertanggungjawab’ tidak sepenting melahirkan doktor dan engineer. Kita tak perlukan warga yang bertanggungjawab, apa yang kita perlukan hanya ROBOT, untuk dikerah tenaganya pada industri industri dan terus mengkayakan lagi pemiliknya.


Negara industri adalah idea Mahathir lewat tahun 1980-1990, bercita besar mahu menjadi negara industri dengan pantas. Oleh sebab itu, pendidikan negara ini lebih kepada menyediakan pekerja(baca robot) untuk kilang kilang ini, dan bukan lagi untuk membina insan sempurna seperti dalam falsafah pendidikan negara. Jadi tak hairanlah orientasi sosial dan politik negara ini berterasksan developmentalism-teori pembangunan berteraskan fizikal dan modal besar. Lantas, pelajar sains dan teknikal sahaja yang diiktiraf sebagai subjek untuk mereka yang pandai, walhal tujuan sebenarnya dalah untuk menjamin supaya robot harus sentiasa dikeluarkan untuk terus berkhidmat pada industri. Pelajar sastera pula sering dituduh sebagai bodoh dan menjadi produk gagal kerna sastera tak dapat menyumbang pada ekonomi negara.


Tahun 1996 merupaka detik detik matinya pendidikan sebenar di Malaysia melalui Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996, dan lahirnya PTPTN pada tahun 1997 telah buat tugas mendidik diserahkan sebahagiannya pada pihak swasta untuk didagangkan. Pelajar pelajar miskin diberi pinjaman masuk ke univerisiti untuk dijadikan buruh-buruh ‘terpelajar’ supaya dapat bekerja dan dapat membayar kembali wang yang diberi pinjam.(100% lari dari falsafah pendidikan negara yang asal) dan hari ini kita dapat mengeneralisasikan bahawa belajar hanyalah untuk berkerja, bukan untuk mencipta insan yang bertanggungjawab mahupun sempurna.

Kerana sastera dianaktirikanlah maka kemanusiaan dipinggirkan. Tiada langsung sekolah pemikiran ataupun jabatan jabatan falsafah di universiti di Malaysia. Kemanusiaan bagaikan satu perkataan asing yang tak siapa faham. Masing masing berlumba mencari kerjaya, untuk survive dalam sistem yang menikam dibelakang anda secara perlahan. Hidup hanya untuk bekerja, berkhidmat dan terus berkhidmat untuk upah di kemudian hari yang sebahagiannya dikembalikan sebagai ‘HUTANG’ untuk terus hidup di belantara konkrit ini.


Tiada siapa yang mahu cuba jadi diri sendiri, tiada siapa yang mahu belajar dari alam dan tiada siapa yang mahu belajar dari haiwan. Umat islam di Malaysia seolah olah lupa bahawa anak nabi adam belajar dengan burung untuk kebumikan mayat saudaranya. The Academy yang ditubuhkan Socrates juga bermula dari bawah pokok sahaja. Dan ini mengukuhkan lagi bahawa alam dan haiwan sangat memainkan peranan penting untuk mengajar kita. Berbakti kepada manusia dan alam lebih penting dari menjadi robot di industri. Menjadi diri sendiri adalah benda tersusah, kau takkan dapat jadi diri sendiri di univerisiti atau kolej, mahupun di mana mana sekalipun. Untuk mengenal diri ialah dengan membunuh diri sendiri atau dalam bahasa mudahnya-bunuh ego. Aku juga masih dalam proses untuk cuba mencari apa itu mengenal diri.

0 comments:

Post a Comment